Sunday, April 29, 2012
Perlukah Bank Negara Hadkan Jumlah Cek Tunai?
Urusniaga korporat selalunya perlukan babitkan bayaran dalam nilai yang besar, mencecah ratusan juta ringgit. Kaedah pembayaran yang lazim adalah cek atau draf bank. Pembayaran bernilai besar terutama untuk menunaikan cek tunai bukanlah satu kelaziman dan memerlukan pihak Bank pembayar membuat pengesahan lebih teliti, bukan sekadar panggilan telefon kepada penandatangan. Pengurus selalunya akan ke kaunter, berbual dengan penunai cek berkenaan, untuk memastikan beliau tidak diekori oleh mana-mana individu yang barangkali merupakan tukang ugut atau perompak.
Namun di peringkat dasar, badan pemantau seperti Bank Negara (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC)boleh melakukan sesuatu terutama apabila membabitkan pengeluaran tunai bernilai puluhan juta ringgit. Insiden sedemikian sepatutnya mencetuskan syak wasangka kerana adalah manjadi sesuatu yang luar biasa apabila pengeluaran tunai dibuat dalam nilai yang banyak terutama oleh syarikat awam tersenarai.
Kes terbaru mambabitkan sebuah syarikat tersenarai iaitu Xian Leng Holdings Bhd yang terbabit dalam industri penternakan ikan dalam sangkar di Batu Pahat. Sejumlah RM85.7 juta bayaran dijelaskan kepada empat kontraktor yang kononnya menjalankan kerja pembinaan kolam ikan syarikat berkenaan. Bayaran tersebut dijelaskan menggunakan empat keping cek tunai melalui sebuah syarikat pengurupan wang yang 80%sahamnya dikuasai oleh salah seorang pengarah Xian Leng.
Satu siasatan audit khas telah dilancarkan, laporan polis juga telah dibuat dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sedang melakukan siasatan. Adalah disyaki bahawa pembayaran tersebut adalah tidak sah dan besar kemungkinan kerja pembinaan yang dilakukan tersebut sebenarnya tidak wujud.
Jika pengarah syarikat tersenarai berani membuat penyelewengan sedemikian, sudah tentulah lagi banyak kes sedemikian berlaku di syarikat-syarikat persendirian. Ini juga mengimbau kita kepada kes-kes seperti Transmile Bhd, Fountain View Development Bhd dan beberapa kes lain di mana nilai pendapatan telah dilonjakkan melalui pelbagai kaedah termasuk invois jualan atas urusniaga yang tidak wujud serta penghutang yang sengaja diwujudkan.
Barangkali satu mekanisma atau garispanduan harus diwujudkan di mana sebarang urusniaga membabitkan cek tunai bagi jumlah tertentu direkodkan secara otomatik di dalam pengkalan data BNM atau SC. Alternatif lain adalah untuk menghadkan jumlah maksima cek tunai untuk syarikat-syarikat awam di Malaysia. Pengurusan kewangan syarikat awam tersenarai tertakluk kepada undang-undang ketat seliaan SC dan sepatutnya menjadi antara elemen utama sistem pemantauan tersebut.
Insiden yang membabitkan Xian Leng ini jelas mencemarkan imej dan reputasi pasaran modal di Malaysia kerana ia menggambarkan betapa rendah kesedaran tentang amalan tadbir urus korporat dan transparensi syarikat awam negara. Kewujudan jawatan kuasa audit di peringkat lembaga pengarah juga nampaknya belum berfungsi dengan berkesan dalam mencegah insiden sedemikian.
Semuga selepas ini pemantauan lebih intensif akan berlaku dan keyakinan pelabur dalam dan luar negara, runcit dan institusi akan labih meningkat.
Subscribe to:
Comments (Atom)